KUPASAN HUKUM HUDUD
KELANTAN
Enakmen Undang-undang Kanun
Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri
Kelantan pada tahun 1993. Ini berikutan
dengan janji Parti Islam SeMalaysia untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihanraya 1990.
Namun begitu, sehingga
sekarang Undang-undang ini belum dikuatkuasakan oleh Negeri
Kelantan. Menteri Besar Kelantan, Nik
Aziz Nik Mat, telah memberi berbagai-bagai alasan untuk perkara. Antara alasan yang paling besar yang diberikan
adalah pihak kerajaan Pusat (UMNO) tidak membenarkannya.
Namun Nik Aziz tetap berjanji akan melaksanakan Hukum Hudud tersebut, setelah
dikritik oleh Sultan Kelantan pada 19 Mei 1996.
Dari pandangan biasa,
memanglah mudah untuk kita menuding jari kepada kerajaan Pusat dan menuduh ianya tidak
islamik dan sebagainya. Tapi bila kita kaji
semula, kerajaan Pusat di bawah pimpinan Datuk Seri
Dr. Mahathir Mohammad tentulah mempunyai sebab yang kuat untuk menghalang perlaksanaan
hukum tersebut.
Berikut adalah petikan ucapan
Dr. Mahathir di Nilam Puri, 1994
Ini tidak bermakna kita menolak
hukum hudud. Kita hanya menolak tafsiran dan undang-undang PAS Kelantan yang tidak serasi
dengan maqasid syariah. Penolakan sesuatu yang salah adalah wajib jika kita berpegang
kepada ajaran Islam.
UMNO tidak melihat undang-undang
ini sebagai UMNO, sebagai sebuah Parti Politik. UMNO mengasingkan parti dan politik dalam
perkara ini. UMNO hanya mengkaji daripada sudut agama semata-mata. Siapa juga mesti kaji,
terima atau tolak undang-undang PAS daripada sudut agama. Adalah salah melihat
undang-undang Islam daripada sudut atau kepentingan Parti. UMNO tidak berbuat demikian.
Yang menolak dan patut menolak
undang-undang PAS ialah orang Islam dalam UMNO. Pendirian UMNO sehingga kini ialah kerana
orang Islam dalam UMNO belum mendapat bukti kajian yang tepat dilakukan berlandaskan ilmu
feqah dan maqasid syariah. la bukanlah satu keputusan yang dibuat oleh UMNO secara
sewenang-wenang.
Saya bercakap di sini sebagai
seorang orang Islam yang dipertanggungjawab sebagai Presiden UMNO. Saya juga dipertanggung
jawatan Perdana Menteri Kerajaan Malaysia. Soal undang-undang PAS bukan soal Dewan Rakyat
semata-mata, walaupun Dewan Rakyat mempunyai peranan mengikut Perlembagaan Negara.
Kerajaan perlu mengkaji secara
teliti undang-undang PAS Kelantan. Satu badan yang terdiri daripada orang Islam yang pakar
dalam agama, hukum hakam dan jenayah perlu ditubuh. Mereka ini hendaklah terdiri daripada
orang yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan yang lain selain pegangan kepada agama
Islam. Namun mereka perlu kepakaran bukan sahaja dalam agama Islam tetapi juga dalam
agama-agama lain dan dalam bidang jenayah dan undang-undang sivil dan jenayah. Seperti
biasa mereka perlu mengambilkira keadaan semasa yang mempengaruhi amalan dan pelaksanaan
ajaran, ibadat dan hukum dalam Islam.
Kerajaan Malaysia, sebagai
Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap agama dan umat Islam di Malaysia akan mengambil
tindakan untuk menubuhkan badan ini. Sementara itu undang-undang PAS tidak boleh diterima
atau dilaksanakan oleh sesiapa kerana ia masih bukan undang-undang Islam dan bukan
undang-undang negara.
Bila dirujuk di kalangan cerdik pandai agama, sebenarnya memang terdapat beberapa
kekurangan yang serius dalam Undang-undang Hukum Hudud tersebut. Di bawah ini penulis akan cuba memberikan sedikit
kupasan berkenaan kekurangan-kekurangan tersebut, terutama sekali dalam bab zina.
PETIKAN UNDANG-UNDANG HUKUM
HUDUD KELANTAN
Berikut ini di nukilkan
sebahagian dari Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud):
BAHAGIAN III
Keterangan
39. Bagaimana membukti kesalahan. En.
2/91.
(1)
Kecuali jika ada
percanggahan dengan peruntukan yang ada dalam Enakmen ini, maka Enakmen Keterangan
Mahkamah Syariah 1991 hendaklah dipakai untuk membuktikan kesalahan-kesalahan di baawah
Enakmen ini.
(2)
Semua kesalahan di bawah
Enakmen ini samada kesalahan hudud atau kesalahan qisos, atau kesalahan ta'zir, hendaklah
dibuktikan dengan keterangan lisan atau iqrar yang dibuat oleh tertuduh.
40. Bilangan saksi
(1)
Bilangan saksi-saksi yang
dikehendaki untuk membuktikan semua kesalahan di bawah Enakmen ini melainkan zina,
hendaklah sekurang-kurangnya dua orang.
(2)
Bilangan saksi-saksi yang
dikehendaki untuk membuktikan kesalahan zina hendaklah tidak kurang daripada empat orang.
41. Syarat-syarat menjadi
saksi
(1)
Tiap-tiap orang saksi
hendaklah terdiri daripada seorang lelaki Islam yang akil baligh dan hendaklah seorang
yang adil.
(2)
Seseorang itu adalah
dianggap adil jika ia menunaikan apa-apa yang disuruh oleh Islam dan menjauhi daripada
dosa-dosa besar serta tidak mengekalkan dosa-dosa kecil dan juga mempunyai isti'mal
al-muru'ah, (perasaan dan pendirian menghormati diri).
(3)
Seseorang itu adalah
dianggap adil, sehingga sebaliknya dibuktikan.
42. Keadaan keterangan
(1)
Untuk membuktikan tuduhan
terhadap tertuduh dan menyebabkan dia boleh dihukum dengan hukuman hudud atau qisos,
keterangan yang diberi hendaklah benar-benar terang dan tidak ada apa-apa kesamaran dan
keraguan.
(2)
Tiap-tiap saksi hendaklah
dengan terang menyatakan bahawa dia benar-benar melihat perbuatan yang didakwakan itu dan
dalam kes zina pula keempat-empat orang saksi itu hendaklah menyatakan bahawa mereka
benar-benar melihat kemasukan zakar ke dalam faraj perempuan pasangan yang bersetubuh itu
dengan juga hendaklah jangan ada perselisihan dan pertelingkahan di antara saksi-saksi di
dalam keterangan itu.
43. Menarik balik keterangan
(1)
Untuk menyebabkan hukuman
hudud dikenakan kepada tertuduh setiap saksi itu hendaklah berdiri teguh di atas
keterangan terhadap tertuduh itu, bukan sahaja dalam masa perbicaraan dan selepasnya,
tetapi juga ketika hukuman itu dilaksanakan, kerana jika keterangan itu ditarik balik
sebelum hukuman itu dilaksanakan, maka tertuduh itu tidak lagi boleh dikenakan hukuman
hudud, dan jika keterangan itu ditarik balik ketika tertuduh sedang menjalani hukuman,
maka hukuman itu hendaklah dengan serta merta diberhentikan.
(2)
Dalam kes zina jika
seseorang saksi itu enggan memberi keterangan, atau memberi keterangan yang berlawanan
dengan tuduhan, atau memberi keterangan menyokong tuduhan itu tetapi kemudiannya menarik
balik keterangan itu, yang mana dengan sebab itu bilangan saksi yang menyokong tuduhan itu
menjadi kurang daripada empat orang, maka tuduhan zina terhadap tertuduh itu tidaklah
terbukti, dan yang demikian tertuduh itu adalah terlepas daripada dikenakan hukuman hudud;
tetapi saksi-saksi yang telah memberi keterangan menyokong tuduhan itu adalah bersalah
kerana melakukan kesalahan qazaf.
44. Iqrar
(1)
Sebaik-baik keterangan untuk
menyabitkan tertuduh dan menyebabkan dia boleh dihukum dengan hukuman hudud ialah iqrarnya
sendiri.
(2)
Iqrar itu hendaklah dibuat
dengan sukarela dan tanpa apa-apa paksaan di hadapan seorang pegawai kehakiman dan
kemudiannya diulangi di hadapan hakim pada masa perbicaraan dijalankan; dan jika
perbicaraan itu mengenai kes zina maka iqrar itu hendaklah diulangi sebanyak empat kali di
hadapan hakim pada masa perbicaraan dijalankan:
Dengan syarat bahawa iqrar itu
hendaklah dibuat dan diulangi dengan tidak ada apa-apa ugutan, janji atau dorongan; dan
hendaklah dengan nyatanya membuktikan secara terperinci bahawa tertuduh itu benar-benar
telah melakukan kesalahan yang dengannya dia telah dituduh, dan dia faham bahawa dia akan
dihukum kerana membuat iqrar.
(3)
Iqrar itu hanyalah boleh
diterima sebagai keterangan terhadap tertuduh yang membuat iqrar itu sahaja, dan tidak
boleh digunakan terhadap orang lain; dan untuk menjadikannya sah maka iqrar itu hendaklah
bukan satu iqrar yang ditarik balik.
45. Menarik balik iqrar
(1)
Sesuatu iqrar itu boleh
ditarik balik oleh tertuduh yang membuatnya pada bila-bila masa sahaja; meskipun pada
ketika dia sedang menjalani hukuman.
(2)
Jika sesuatu iqrar itu
ditarik balik sebelum dilaksanakan hukuman ke atasnya maka tertuduh itu tidaklah lagi
boleh dikenakan hukuman itu, dan jika dia menarik balik iqrar itu pada ketika dia sedang
menjalani hukuman, maka hukuman itu hendaklah dengan serta merta diberhentikan.
(3)
Jika pada bila-bila masa
sebelum atau pada ketika hukuman dilaksanakan, tertuduh itu dapat melarikan diri daripada
pihak yang berkuasa, maka dia hendaklah dianggap sebagai telah menarik balik iqrar itu;
dan yang demikian peruntukan subsekseyn (2) hendaklah terpakai.
46. Keterangan qarinah
(1)
Kecuali seperti yang
diperuntukkan dalam subseksyen (2) dan (3) keterangan qarinah walaupun berkaitan hendaklah
tidak boleh dijadikan satu cara yang sah untuk membuktikan kesalahan hudud.
(2)
Dalam perkara zina,
kehamilan atau kelahiran anak oleh seseorang perempuan yang tidak mempunyai suami
hendaklah menjadi keterangan yang boleh mendapatinya bersalah melakukan zina dan yang
demikian hukuman hudud ke atasnya hendaklah dikenakan melainkan jika dapat membuktikan
sebaliknya.
(3)
Dalam perkara minum arak
atau sebarang minuman yang memabukkan, bau minuman yang didapati dalam nafas tertuduh itu
atau muntahnya yang mengeluarkan arak atau sebarang minuman yang memabukkan atau apa-apa
kesan darinya, atau pemerhatian Mahkamah kepada keadaan tertuduh itu bahawa dia sedang
berada di dalam keadaan mabuk, hendaklah boleh diterima sebagai keterangan untuk
membuktikan bahawa dia telah melakukan kesalahan syurb, melainkan jika ia dapat
membuktikan sebaliknya.
47.
Apabila seseorang tertuduh
itu tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud kerana saksi-saksi telah menarik balik
keterangan mereka sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 43 atau kerana tertuduh
itu telah menarik balik iqrarnya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 45 atau
kerana keterangan saksi yang ada tidak memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki untuk
membuktikan kesalahan hudud, maka tertuduh bolehlah dihukum dengan hukuman ta'zir, dan
mahkamah hendaklah mengambil tindakan untuk menjatuhkan hukuman itu sekiranya ada
keterangan yang cukup bagi maksud itu.
(Pelaksanaan Hukum Hudud Di
Kelantan, halaman 120-125)
Seksyen
41 dan 42 menerangkan mengenai syarat-syarat menjadi saksi dan keadaan keterangan yang
boleh dikira sebagai sah dari saksi-saksi. Di
sini, Dr. Mahathir menerangkan lagi:
Untuk mengesahkan bahawa wanita
itu benar-benar telah dirogol dan bukan ianya dengan rela hati berzina, empat orang saksi
yang terdiri daripada orang yang tidak berdosa besar dan tidak melakukan dosa-dosa kecil
berulangkali diperlukan.
Saksi seperti ini sudah tentu
sukar didapati. Yang pertamanya, perogol tidak merogol di hadapan saksi. Ia sudah tentu
tidak ingin mendedahkan dirinya kepada hukuman yang berat yang akan dikenakan ke atasnya.
Jika hukuman tidak berat sekalipun ia tidak akan mendedahkan dirinya.
Saksi yang mulia tidak akan
berdiam diri melihat perbuatan merogol berlaku di hadapan mereka. Tentulah mereka tidak
bertanggungjawab jika mereka melihat jenayah yang begitu dasyat berlaku di hadapan mereka
tanpa memberi pertolongan. Jika mereka tidak cuba menolong maka mereka akan menjadi orang
yang bersubahat dengan perogol. Ini bermakna mereka turut berdosa dan tidak layak lagi
untuk menjadi saksi yang boleh diterima.
Hanya jika mereka dipaksa
menyaksi dan diugut oleh perogol atau rakan-rakannya mungkin saksi terpaksa menyaksi tanpa
membuat apa-apa. Keadaan ini tidak mungkin berlaku melainkan dalam peperangan umpamanya,
di waktu mana rogol berlaku tanpa apa-apa sekatan seperti di Bosnia, di mana orang Serb
yang bukan Islam sering merogol. Tetapi mereka bukan Islam dan mengikut undang-undang PAS
mereka tidak akan dikenakan hukum hudud.
Yang jelas ialah mangsa rogol
yang membuat pengaduan tidak mungkin mendapat saksi-saksi yang boleh diterima di bawah
undang-undang PAS. Dengan itu perogol tidak boleh didakwa di bawah undang-undang PAS.
Undang-undang PAS juga tidak
akan menerima 'circumstantial evidence' iaitu tanda-tanda pada mangsa yang membuktikan ia
telah dirogol. Undang-undang PAS tidak menerima kesan atau cedera luka di tempat-tempat
berkenaan atau tanda-tanda pada perogol yang menunjuk mangsanya telah melawan untuk
mempertahankan kehormatannya.
Dengan tidak adanya saksi yang
empat yang diterima sah oleh undang-undang PAS dan penolakan 'circumstantial evidence'
maka pengaduan dan tuduhan oleh mangsa rogol akan ditolak. Perogol akan terlepas daripada
apa-apa hukuman.
Dari
pemahaman di atas, apabila Undang-undang ini dilaksanakan, ia akan menindas
golongan-golongan tertentu, seperti mangsa rogol. Ini
kerana undang-undang ini dengan jelas menetapkan syarat-syarat yang ketat dan amat sedikit
untuk mengesahkan perbuatan zina. Tidak ada
alternatif, contohnya penerimaan circumstantial
evidence seperti yang disebutkan di atas. Mangsa
rogol yang sudah tentunya tidak akan dapat membuktikan perbuatan rogol tersebut
(berdasarkan keperluan 4 saksi) akan boleh didakwa kerana berzina. Adilkah begitu?
KUPASAN SEKSYEN 46(2)
Seksyen
46(2), mengenai keterangan qarinah, berbunyi seperti berikut: Dalam perkara zina, kehamilan atau kelahiran
anak oleh seseorang perempuan yang tidak mempunyai suami hendaklah menjadi keterangan yang
boleh mendapatinya bersalah melakukan zina dan yang demikian hukuman hudud ke atasnya
hendaklah dikenakan melainkan jika dapat membuktikan sebaliknya.
Sekali
lagi isu mangsa rogol timbul. Jika mangsa
tersebut belum berkahwin, hamil ataupun telah melahirkan anak, jika beliau tidak dapat
membuktikan beliau telah dirogol, maka beliau akan dikenakan hukuman hudud, iaitu dalam
kes ini, rejam sehingga mati / sebatan 100 kali rotan.
Fikirkanlah,
di manakah keadilan di dalam undang-undang Hudud ciptaan PAS ini? Mangsa rogol (wanita) akan teraniaya. Sedangkan
Ajaran Islam tidak sekali-kainya begitu. Allah
s.w.t. berfirman, maksudnya " Allah yang
menurunkan Kitab suci dengan membawa kebenaran, dan menurunkan keterangan yang menjadi
neraca keadilan "(Asy-syura:17)
Satu
perkara yang patut ditekankan disini adalah Undang-undang Hudud di atas adalah ciptaan
PAS, yang telah diambil bulat-bulat dari sebuah kitab kurun ke13 (maaf tidak dapat
dinyatakan nama kitab itu disini) tanpa mengambil kira arus perubahan zaman dan teknologi.
Kerajaan
Pusat, (UMNO) sama sekali tidak pernah menolak Hukum Hudud, tetapi hanya menolak Hukum
Hudud ciptaan PAS. Terdapat perbezaan yang
besar dalam kenyataan di atas. Apa yang
diperlukan ialah pemikiran yang rasional dari para pembaca untuk menimbangkan
kupasan-kupasan di atas.