KEGAGALAN PAS


Kewujudan Pas pada bulan Ogos 1951 atas nama kononnya hendak menegakkan Islam, syariat Islam, pemerintahan Islam dan negara Islam telah banyak mencorakkan senario politik negara dengan seribu satu kecelaruan yang tidak putus-putus.

Pas yang dikatakan diasaskan atas dasar Islam telah bergelumang dengan sistem demokrasi dan telah sepuluh kali pilihan raya disertai oleh Pas, namun kepercayaan umat Islam terhadap Pas tidak pernah memungkinkan Pas menguasai arus perdana politik negara.

Hampir 50 tahun Pas terpinggir sebagai sebuah parti Kelantan, Terengganu dan sebahagian negeri Kedah.

Kewujudan Pas sebagai parti serpihan UMNO tidak banyak membantu menaiktarafkan kesucian agama Islam bahkan lebih kepada satu petunjuk bahawa kewujudan Pas adalah satu lambang kepada senario perpecahan.

Golongan yang merasakan menyertai Pas akan membanyakkan pahala mereka dan golongan yang mencari kesempatan atas nama Islam adalah elemen yang meniup bara Pas untuk terus hidup di pentas politik negara. Sorotan kepada pemerintahan Pas selama 19 tahun di Kelantan iaitu dari tahun 1959 hingga 1978 mendedahkan kita kepada suatu kelemahan kepimpinan Pas yang terus diwarisi oleh kepimpinan Pas di Kelantan sejak 21 Oktober 1990.

Sekiranya ada perbezaan antara pemerintahan Pas 1959-1978 dan pemerintahan Pas sekarang, perbezaan tersebut adalah sekadar berkisar kepada soal slogan dan laungan sahaja. Pemerintahan Pas secara halus melekakan rakyat dengan slogan dan isu remeh-temeh.

Mereka berteriak kepada rakyat bahawa mereka juara Islam, merekalah orang yang benar-benar mahukan Islam tetapi pada masa yang sama terlalu banyak persoalan yang tidak terjawab tentang erti tanggungjawab pemerintah terhadap rakyat dalam konteks Islam.

Persoalan utamanya ialah atas nama Islam yang mereka laungkan mereka tidak menjaga imej negeri yang diperintah. Selama hampir sepuluh tahun Pas gagal membina kemuliaan bagi negeri Kelantan. Kelantan kekal sebagai negeri yang tidak boleh berdikari. Kelantan kekal menjadi negeri yang tidak maju. Kelantan terus menjadi negeri yang mengharapkan bantuan Kerajaan Pusat yang didakwa oleh sebahagian pengikut Pas sebagai kerajaan Mahafiraun, kerajaan Namrud, kerajaan Haman, kerajaan Qarun, kerajaan zalim, kerajaan taghut, kerajaan munafik dan kerajaan kafir.

Sekiranya Pas berjaya menjadikan Kelantan negeri yang makmur dan berkat tentunya Kerajaan Kelantan tidak perlu mengharapkan satu sen pun duit daripada Kerajaan Pusat.

Sekiranya Pas berjaya menjadikan Kelantan negeri yang terbaik dan keberkatan turun dari langit barulah Kelantan mempunyai izzah iaitu kemuliaan, kekuatan dan kedaulatan. Maka di mana daulatnya Kelantan jika Pas kalau masih terpaksa menagih geran peruntukan daripada Kerajaan Pusat dan lebih daripada itu terpaksa mencari Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk membuat pinjaman mudah (soft loan) untuk memulihkan bekalan air di Kelantan. Di manakah kemuliaan kerajaan Kelantan pimpinan Pas yang resah gelisah jika terlewat mendapat geran peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

Maka dari sini mana lebihnya Kelantan berbanding negeri lain. Di mana keberkatan dari langit untuk Kelantan. Sekiranya Kelantan mempunyai izzah sudah tentu bukan sahaja tidak perlukan bantuan daripada Kerajaan Pusat, hasil mahsul Kelantan dapat membantu negeri-negeri lain.

Kerajaan Pas jangan berkata hasil mahsul Kelantan terpaksa diserahkan kepada Kerajaan Pusat maka sebab itu ia tidak boleh berdikari. Ini kerana Pas tidak dapat mewujudkan satu Majlis Kerajaan Tempatan di Kelantan yang boleh berdikari. Tidak ada diketahui satu Majlis Daerah di Kelantan yang mampu menanggung kos pengurusan dan kos pembangunan tanpa mengharapkan bantuan.

Persoalan seterusnya ialah kenapa Pas gagal memajukan ekonomi. Sepanjang 10 tahun memerintah Kelantan Pas gagal menjadikan Kelantan pilihan utama saudagar, pedagang, pengeksport atau pengimport. Petunjuk mudah ialah tidak adanya bank-bank ternama membuka cawangan di Kelantan.

Sepanjang sepuluh tahun kemasukan pelaburan di Kelantan kelihatan lesu dan tidak bermaya.

Pelabuhan di Kelantan tidak ada yang terkenal kecuali bagi pendaratan ikan tempatan dan usaha bersungguh-sungguh daripada pihak kerajaan untuk memajukan pelabuhan tidak nampak di mata rakyat.

Kerajaan Pas gagal menjadikan Kelantan sebagai Pusat Dagangan Dunia walaupun kedudukannya yang strategi sebagai laluan perkapalan ke Asia Timur. Apakah kerajaan Pas tidak pernah terfikir mengenai hal ini? Kegagalan ini juga dapat dikesan dengan mudah apabila Pas gagal mengaut untung daripada anak-anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Banyak anak syarikat yang rugi sehingga terpaksa ditutup. Kita semua merasa malu kerana sebuah kerajaan yang dikatakan Membangun Bersama Islam terpaksa menutup anak syarikat PKINK kerana rugi. Lebih malu lagi kerana kita tidak pernah diberitahu apakah kerugian itu kerana salah laku pengurusan atau ada sebab-sebab lain.

Penyokong Pas yang mendakwa Pas sebuah parti telus sepatutnya berani bertanya berapakah elaun yang diterima oleh pengerusi-pengerusi anak syarikat PKINK dan siapakah yang menjadi pengerusi dan ahli lembaga pengarahnya. Pelan tindakan ekonomi bagi memajukan Kelantan tidak pernah dikemukakan kepada rakyat. Maka apabila pelannya tidak ada, tidak ada yang boleh diharapkan dari kerajaan yang seolah-olah sentiasa bertindak sebagai kerajaan caretaker iaitu kerajaan peralihan antara masa selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri dan menunggu hari mengundi.

 

 

Bidang perindustrian tidak menjanjikan peluang pekerjaan yang mencukupi untuk anak Kelantan. Bilangan kilang dan peluang pekerjaan yang ada tidak setara dengan pertambahan bilangan remaja dan golongan yang mencari kerajaan. Maka anak muda Kelantan terpaksa meninggalkan kampung halaman, ibu dan ayah serta sanak keluarga untuk mencari rezeki sama ada di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor atau Singapura.

Sepatutnya apabila kerajaan Pas naik, orang dari luar Kelantan akan berduyun-duyun mencari rezeki di Kelantan. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Penulis pernah duduk bersebelahan di dalam sebuah bas dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dengan seorang lelaki buta yang tinggal di kawasan DUN Timbalan Menteri Besar yang datang ke Kuala Lumpur untuk mencari nafkah bagi sesuap nasi untuk anak isteri dengan bermain muzik.

Lelaki buta ini boleh di lihat di sekitar Chow Kit mencari rezeki untuk dibawa balik ke Kelantan menyara keluarga. Kerajaan Pas tidak boleh mengaitkan penghijrahan anak muda ke luar Kelantan adalah perkara lumrah dan tradisi rakyat Kelantan.

Memang pada tahun 1950an orang Kelantan berhijrah ke Thailand yang lebih dikenali "pergi ke BaratÓ untuk menoreh dan kemudiannya rakyat Kelantan pergi ke Singapura menjadi buruh kontrak. Ini adalah kerana pada masa tersebut peluang pekerjaan amat sukar di Kelantan. Bandar kota Bharu masih menyimpan ramai pengemis sama ada yang cacat, orang tua atau budak-budak. Apakah kerja yang pemimpin Pas lakukan bagi membantu orang yang terpaksa menghinakan diri kerana mengharapkan sesuap nasi. Kerajaan Pas betul-betul tidak bertanggungjawab dalam hal ini di sebalik dakwaan sebagai sebuah kerajaan Islam

Maka apakah kerajaan Pas berpuas hati untuk melihat dasar yang merugikan itu terus berjalan. Memang betul apabila mereka bekerja di luar Kelantan mereka akan membawa hasil ke Kelantan tetapi tidakkah lebih baik Kelantan menjadi negeri pemberi hasil bukannya penerima hasil. Tidakkah tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima. Maka apakah usaha Pas selama 10 tahun untuk menjadikan Kelantan negeri yang memberi hasil bukan sahaja kepada rakyatnya tetapi kepada rakyat luar Kelantan?

Selama 10 tahun memerintah Kelantan juga Pas terbukti mengamalkan sikap meletakkan getah di tangan orang lain setelah kenyang makan nangka. Sebagai contoh pada 13 Jun 1996 Abdul Hadi Awang Timbalan Presiden Pas semasa merasmikan muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat ke-37 mendakwa bahawa pentadbiran Pas terganggu kerana terdapat dua lagi kerajaan yang memerintah negeri tersebut sejak pilihan raya umum 1990. Dua kerajaan tersebut menurut Abdul Hadi ialah pihak Istana dan Kerajaan Pusat.

Jika Pas mempunyai keperibadian sebagai sebuah kerajaan yang berhemah dan berwibawa, tidak timbul dakwaan demikian. Jika benar Pas melakukan kebaikan tentunya ia disukai oleh semua pihak termasuk Istana dan Kerajaan Pusat. Apa yang diketahui pihak Istana bertindak mengikut lunas perlembagaan negeri. Maka apabila Abdul Hadi menuduh Istana mengganggu kerajaan Pas sepatutnya beliau mengemukakan secara terperinci apakah gangguan yang dilakukan oleh pihak Istana Kelantan.

Dalam soal hukum hudud, sultan Kelantan telah menandatangani warta bagi memperkenankan pelaksanaan hukum hudud. Tidak pernah walau pada satu masa rakyat mendapat tahu Istana menentang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. Jika ada lain-lain gangguan, Abdul Hadi sepatutnya menyenaraikan bagi memudahkan kita semua menyemak dan meminta penjelasan dari Sultan. Sultan Kelantan bukannya manusia yang susah berkira. Baginda masuk kampung keluar kampung untuk bersolat Jumaat dan makan bersama orang kampung. Baginda bukannya manusia berwatak dewa yang tinggal di kayangan tanpa mempedulikan nasib rakyat. Maka apakah kunjungan raja bertemu rakyat boleh dikatakan satu gangguan?

Apakah yang Pas kehendaki dari pada Istana Kelantan? Satu pertanyaan yang tidak mungkin berani dijawab oleh pihak Pas kerana pemimpin Pas sendiri banyak melakukan salah laku terhadap rakyat termasuk gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sehingga ditegur oleh Sultan Kelantan di dalam Persidangan DUN Kelantan pada 25 Oktober 1999.

Pas sepatutnya bersyukur kerana mempunyai seorang raja yang boleh duduk bersila dengan Menteri Besar. Berbincang dan berbual mesra tanpa ada protokol dan sekatan yang bukan-bukan. Apa yang jelasnya ialah kegagalan Pas memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat yang menyebabkan Istana membuat teguran.

Teguran Istana Kelantan dianggap berbisa kepada Pas kerana Istana Kelantan mempunyai kedudukan yang tinggi di kaca mata rakyat Kelantan. Istana Kelantan bukan terdiri daripada kalangan kaki judi, kaki arak atau kaki maksiat. Inilah yang sebenarnya menakutkan Pas.

Pas juga menyifatkan Kerajaan Pusat sebagai pengganggu. Apa yang dilihat oleh rakyat ialah Kerajaan Pusat banyak menyumbang bagi memberi kemudahan dan kesejahteraan kepada rakyat. Bahkan kerajaan negeri Kelantan sendiri meminta pinjaman wang daripada Kerajaan Pusat untuk memulihkan bekalan air bersih kepada rakyat Kelantan. Maka di mana rasionalnya tuduhan Abdul Hadi tersebut.