Mencarut: Alasan Nik Aziz Dangkal

 

Saya telah membaca teks ucapan Nik Aziz pada sessi ceramahnya di Kota Bharu ada 1 Mei 1999 bagi menangkis hentaman mengenai isu mencarut. Di sini saya ingin memberi sedikit komen dan pandangan saya mengenai ucapan Tok Guru itu.

 

Pertama sekali saya amat amat kesal kerana Nik Aziz masih mempertahankan mencarut. Sedangkan kafir barat juga, jika kita menonton filem-filem dan drama-drama mereka, mereka tetap memarahi anak mereka jika anak mereka mengeluarkan perkataan kesat walaupun orang-orang dewasa mereka suka menggunakan perkataan kesat dalam perbualan harian mereka. Maka begitu hina sekali Islam kerana Tuhan kita pun dikatakan mencarut? Sudah tentu ini perkara besar, silap-silap jika terdengar oleh pelampau Arab, dikeluarkan tawaran untuk membunuh Nik Aziz. Adab dan ketamadunan manusia memberitahu kita bahawa bercakap kotor itu tidak baik dan tidak ada agama manapun dalam dunia ini membolehkan kita bercakap kotor dan seboleh-bolehnya kita hendaklah menahan diri atau bersabar dari mengeluarkan perkatan kotor apatah lagi lucah iaitu mencarut dalam apa jua keadaan. Dan bagi Islam, Sabar itu adalah separuh dari iman. Tak mungkin orang yang mengaku dirinya ulama, malah mursyid tidak dapat bersabar sehingga terpaksa memaki hamun dan mencarut terhadap orang lain apatah lagi orang Islam juga, bukannya orang kafir atau orang yang menganiayanya. Apakah para alim ulamak ini tidak mempunyai kesabaran?

 

Cuba minta Shahnon Ahmad terangkan keadaan dirinya ketika dia menulis buku itu di mana keadaan itu membolehkannya mencarut?

 

Mencarut bagi bangsa Melayu adalah amat keji dan jijik. Saya tahu ramai orang PAS yang menafikannya, bagi mereka itu adalah biasa. Maaflah jika mereka tersinggung - tetapi di dalam keluarga orang baik-baik, mencarut adalah sesuatu yang amat asing. Tanyalah mereka dari keluarga jenis manakah mereka? Jika ibubapa mereka mencarut tentulah mereka akan membela ibubapa mereka dan menyatakan bahawa itu adalah perkara biasa. Sedangkan bagi kita, bagi saya sendiri, tok,nenek,moyang,ibu dan ayah saya akan memarahi saya dan kakak saya walaupun jika saya berkata kakak saya bodoh. Perkataan bodoh sudah cukup keji bagi kami jika kami menggunakannya untuk memperkecilkan orang lain. Saya mengenali abang kepada Dr. Mahathir Mohamad, iaitu En. Masyhur kerana pernah menjadi jiran mereka suatu waktu dahulu. Keluarga kami amat menghormati mereka ini kerana akhlak mereka yang amat terpuji. Tuturkata yang begitu lembut dengan sopan santun yang begitu tinggi sehinggakan saya pada waktu itu terlalu segan dengan mereka kerana mereka terlalu menghormati orang lain dan membuatkan kita merasa yang kita tidak sepatutnya dihormati sehingga sedemikian rupa. Itulah adab orang Islam yang sebenar terhadap orang lain. Bagi kami, bagi mereka dan orang-orang yang lahir dalam keluarga yang tidak pernah berkasar – mencarut adalah amat asing dan amat-amat keji.

 

Nik Aziz menyatakan bahawa Islam tidak menghalang kehendak-kehendak manusia asalkan ianya bertempat. Contoh yang diberikan adalah kehendak naluri seks, naluri harta, naluri mengumpat dan naluri membunuh?. Dia mengatakan bahawa semua ini tidak dihalang oleh Islam asalkan kena pada tempatnya. Bukankah mengumpat itu adalah dosa besar dan dilarang Allah dalam apa jua keadaan tidak ada tempat-tempat tertentu dan keadaan-keadaan tertentu yang dibolehkan mengumpat dan jika tidak berdaya menegur lebih baik berdiam diri. Dan Membunuh termasuk dalam naluri??? Saya tidak tahu. Tetapi bagi saya, betapapun saya tidak bersetuju dengan Nik Aziz dia tetap orang Islam dan itu hak Allah untuk menentukan imannya bukan saya atau Dr. Mahathir dan saya tidak pernah ada naluri untuk membunuhnya atau sesiapa saja. Apakah Nik Aziz atau pengikut-pengikutnya memang ada naluri untuk membunuh? Secara ringkasnya Nik Aziz menyamakan "keinginan" untuk mencarut sama dengan keinginan untuk membunuh?, mengumpat dan seks. Adakah kita semua mempunyai keinginan untuk mencarut????

 

AlQuran ada mengingatkan kita bahawa ada manusia yang menyatakan keimanannya pada Allah tanpa menyedari yang mereka menipu diri mereka sendiri. Mereka ini mempunyai penyakit-penyakit di hati (hasad dengki,benci, dendam, tamak, amarah dan iri hati). Bila kita mengingatkan mereka agar jangan membuat huru-hara di dunia mereka menyatakan bahawa merekalah pembawa perubahan (reformasi). Berhati-hatilah, mereka ini adalah pembuat kacau tapi mereka tidak menyedarinya. Bila ditanya apakah mereka tidak mempercayai apa yang dipercayai oleh orang lain - kata mereka kenapa mesti dipercayai orang-orang yang bodoh/tidak benar? Berhati-hatilah sebenarnya merekalah yang bodoh/tidak benar itu dan mereka tidak menyedarinya.

 

DAlam ceramahnya, NIk Aziz menerangkan bahawa perkataan-perkataan yang disebut oleh Allah dalam Al-Quran dan RAsulullah dalam Hadith-hadith sebagai mencarut iaitu tuli, bisu, buta, kera yang hina, seperti binatang ternakan, seperti mati dibunuh, jahat dll. NIk Aziz juga menghuraikan bahawa "bila Allah buat sesuatu dalam AlQuran dan RAsulullah berkata hendaklah kamu berakhlak sebagaimana akhlak Allah" bermaksud bahawa jika Allah marah, menyumpah, mengutuk dan lain-lain maka kita dibenarkan berbuat demikian juga dan jika tidak bersetuju maka kita dikatakan menidakkan dalil-dalil dalam AlQuran. Saudara fikirlah sendiri apakah perbezaan antara kata-kata dengan perkataan. Apakah mengata dan apakah berkata. Apakah perumpamaan dan apakah mengumpamakan orang. Contoh ayat: "Dia tidak boleh mendengar, dia pekak." Bandingkan dengan "Hoi, pekak, engkau tak dengar ke?!". Ayat pertama menggunakan perkataan yang sama tetapi bernada sopan, bukan? Samalah jika Nik Aziz menyatakan bahawa perkataan liwat itu mencarut, jadi semua akhbar mencarut. Maka dengan itu, apabila Anwar berkata "dia kata saya melakukan liwat" – adakah bermaksud yang Anwar sedang mencarut? Atau seorang ibu yang menerangkan kecacatan anaknya yang bisu: "maaflah, anak saya ni bisu". Adakah ibu itu mencarutkan anaknya? Allah marah, menyumpah dan mengutuk dalam AlQuran termasuk dalam kata nama, perbuatan atau akhlak? Nampaknya Nik Aziz tidak tahu pun definisi akhlak. Liwat = satu perkataan, meliwat = satu perbuatan, p***…. = satu apa? Perkataan? Perbuatan? Nama? Dan tanyalah ibu Nik Aziz dan Shahnon, apakah mereka tidak memarahi anak mereka kerana bercakap sedemikian?

 

Ingatlah, Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling baik akhlaknya. Allah marah, itu hak Allah. Allah menyumpah orang-orang kafir, itu hak Allah. Apakah Nik Aziz mempunyai hak yang sama dengan Allah? Allah marah dengan membuat perumpamaan agar kita faham dan kalau Allah tidak menyebut sesetengah perkataan bagaimana kita hendak faham?

 

Nik Aziz memberi contoh perbuatan Saidina Abu Bakar yang mengucapkan kata-kata keji kepada HUDAIR YANG MANA SEBELUM ITU TELAH MEMAKI HAMUN RASULULLAH DAN AGAMA ISLAM. Suka saya terangkan di sini bahawa HUDAIR ITU YANG MEMULAKAN pertelingkahan bukan Saidina Abu BAkar. Saidina Abu BAkar kehilangan sabar kerana yang dikatakan adalah Rasulullah tetapi RAsulullah sendiri masih bersabar. Lihatlah contoh Rasulullah di situ. Kenapa hanya melihat pada Saidina Abu Bakar? Dan apakah Dr. Mahathir pernah berkata sesuatu yang keji atau kotor kepada Shahnon?

 

Orang-orang sebegini jika dikatakan bahawa mereka menghuraikan AlQuran secara "word-by-word" mereka tidak mengaku. Tapi itulah yang dibuat oleh Nik Aziz - menghuraikan AlQuran mengikut sepatah-sepatah perkataan tanpa langsung berfikir. Seperti yang saya selalu tekankan, AlQuran diturunkan untuk kita berfikir tentang ayat-ayatnya. Maksudnya luas, dalam, halus dan seni. Nik Aziz juga dalam ceramahnya berkali-kali menyatakan bahawa kita berhak mencarut dan mengutuk terhadap orang-orang munafik, kafir dan orang fasiq. Di sini, Nik Aziz sendiri menghukum seseorang itu munafik atau fasiq atau kafir. Apakah dia juga mempunyai hak untuk mengampunkan dosa seperti padri Kristian? Bagaimana dia sebagai manusia biasa dapat menentukan siapa yang munafik? Adakah melalui pendapat dan pandangannya atau adakah dia setaraf dengan Allah? Kafir - bagaimana dia menghukum seseorang yang mengaku diri mereka Islam, sebagai kafir? Apakah dia tahu di mana letaknya iman orang itu di sisi Allah? Dan imannya sendiri di sisi Allah? Sedangkan pelacur pun diampunkan Allah. Orang yang tak pernah bersembahyang seumur hidup pun masih dapat diampunkan Allah kerana perbuatan-perbuatan dan amalan yang kita manusia biasa tidak nampak dan tidak tahu. Tiba-tiba Nik Aziz boleh menghukum orang UMNO sebagai kafir dan Dr. Mahathir - Firaun?!! Maka bertambahlah pahala Dr. Mahathir kerana dikutuk sedemikian rupa sekali dan beliau bersabar dan menahan dirinya daripada mencarut kembali kepada Nik Aziz.

 

Dalam AlQuran ada menyatakan yang bermaksud begini: Ada di antara kamu orang-orang yang mana kata-kata mereka amat sedap didengar dengan sentiasa menyebut nama Allah sebagai saksi tetapi merekalah musuh Allah yang paling buruk.

 

Saudara, siapakah di Malaysia ini yang paling suka bercakap dengan menggunakan nama Allah dan agama bagi menyedapkan kata-kata mereka? Sudah tentu bukan orang-orang yang dianggap sekular, tetapi orang-orang yang mengaku diri mereka lebih baik, alim dan lebih tinggi di sisi Allah dari orang lain. Orang-orang ini tidak ada sifat rendah diri dan menggunakan nama Allah untuk menguatkan kata-kata mereka. Berhati-hatilah - sesungguhnya AlQuran telah pun mengingatkan kita tentang mereka. Dan malang bagi orang-orang ini, mereka tidak menyedarinya walau sedikitpun kerana terlalu yakin akan ilmu agama mereka.

 

Allah berfirman yang bermaksud: Allah telah menurunkan AlQuran kepada RAsulullah di mana ianya terbahagi kepada Muhkamat (sahih) iaitu asas AlQuran dan Mutashabihat (2 makna) di mana manusia akan mentafsirkannya mengikut pandangan masing-masing tetapi maksud yang sebenar hanya Allah yang mengetahui. DAn sesiapa yang mempunyai kepandaian yang tinggilah yang dapat mentafsirkan ilmu itu dengan betul.

 

SAhlah di sini, Islam mahukan umatnya berfikir dan orang-orang yang berilmu sahaja dapat berfikir dengan baik dan jitu. Jika tidak cukup ilmu, dan cuba mentafsir AlQuran yang sebegitu lengkap akan menjadi kelamkabutlah kehidupan. Allah mahukan umat Islam pandai dalam segala bidang. Ilmu yang sedikit tidak akan cukup untuk mentafsir Al-Quran dengan baik melainkan perkara-perkara yang Muhkamat. Ilmu dalam Islam bukan hanya ilmu agama sebab ilmu lain semua itu juga sebenarnyalah ilmu agama itu. Bukan dengan menghafal AlQuran dan menghafal sifat 20 dan menghafal hadith semata-mata. Islam itu luas. AlQuran itu luas dan dalam bukan hanya tebal. Islam itu cara hidup maka semuanyalah dan adalah Islam. Tidak boleh dipisahkan lagi dan tidak pernah dipisahkan. Sebab itulah kita harus sentiasa merendah diri dan belajar dan berfikir sejauh yang boleh dan walau sejauh manapun kita masih kerdil di sisi Allah. Di situlah kita dapat kaitkan dengan firman Allah mengenai kepentingan dan keagungan akal fikiran yang membezakan kita dengan makhluk lain.

 

Jika kita melaung-laung mahukan negara Islam tetapi apakah kita dapat pastikan jika matlamat negara Islam dicapai dengan semua orang bertudung litup, lelaki perempuan berasingan, hukum hudud dan lain-lain - apakah kita dapat pastikan yang kita akan lebih tinggi di sisi Allah berbanding dengan orang Islam di Amerika, London, Jepun, China dan lain-lain negara kafir? Bukankah yang penting itu adalah hubungan kita dengan Allah? Bila semua orang menyedari hakikat ini ditambah dengan kerajaan Malaysia yang tidak pernah menghalang kita beribadat dan memberi sepenuh sokongan untuk mendirikan masjid, Universiti Islam dan Bank Islam dan segala-galanya tentang Islam maka itulah negara Islam yang sebenarnya. Malaysia pula aman, makmur dan maju maka cukup dengan kita mensyukuri nikmat ini sebagai orang Islam tak perlu melaung dan memberitahu seluruh dunia betapa Islamnya kita. Janganlah terkejut jika di akhirat nanti kita yang di negara Islam masuk syurga yang lebih bawah dari orang Islam dari Los Angeles.

 

Betapapun kita merasa orang lain salah dan kita benar betapapun kita merasa orang lain jahil dan kita alim yang penting walau betapa salahnya orang lain dan benarnya kita dan walau betapa jahilnya orang lain dan alimnya kita, kita masih hidup dengan harmoni, aman damai, makan minum cukup, membeli belah seperti biasa dan beribadat seperti biasa. Masyarakat Malaysia terlalu asyik menentukan siapa yang lebih Islam dari siapa kerana kita terlalu aman untuk memikirkan perkara yang lebih berat - kita terlalu senang disuap dengan subsidi. Sejak anak kita kecil, orang Melayu selalu berangan untuk memasukkan anak dalam institusi pengajian tinggi dengan bantuan biasiswa kerajaan. Tetapi orang Cina dan orang-orang di negara lain, sebaik lahir saja anak mereka, mereka sudah berkira-kira bagaimana nanti untuk mencari duit atau mengambil insuran pelajaran sekiranya anak mereka layak masuk ke institusi pengajian tinggi, tidak terfikir oleh mereka akan bantuan orang lain. Anak melayu, pendidikan rendah dan menengah didapati dengan percuma dengan buku-buku teksnya juga percuma. Cuba buat tinjauan negara mana lagi yang memberikan buku teks dengan percuma? Tidak ada. TAnah Felda? Pernah seorang pekerja Indonesia menyatakan rasa terperanjatnya bila mengetahui yang orang Melayu diberi tanah untuk bekerja dan mengatakan betapa mereka boleh memanfaatkan tanah itu jika diberi peluang yang sama di negara mereka.

 

Tetapi orang Melayu masih tidak bersyukur. Saya bimbang Allah menurunkan bala kepada bangsa yang tidak bersyukur dan bala itu boleh jadi melalui kemenangan parti alternatif. Jadi tidak perlulah kita berfikir untuk membuktikan siapa lebih Islam dari siapa kerana itu kerja Allah. Kita hanya perlu tunaikan tanggungjawab kita sebagai umatNya dan sebagai rakyat Malaysia.

 

Nik Aziz juga menyatakan yang masyarakat di Madinah dan Mekah juga majmuk? Nik Aziz bercakap tidak pernah didahului dengan tinjauan (survey) atau kajian ataupun fikiran. Bercakap biarlah dengan fakta-fakta dan peratusan yang lengkap. Dia baca AlQuran dan terjemah ikut pendapatnya itu saja yang dia tahu. Berapa peratus orang tidak Islam di Mekah? berapa peratus pula di Madinah? nak dibandingkan dengan Malaysia yang hampir separuh-separuh ini? Tak perlulah saya petikkan di sini berita mengenai siswa-siswi di negara Islam (100% penduduk Islam) yang menunjuk perasaan kerana tertekan dengan sistem sosial negara mereka. Sekali-sekala biarlah Nik Aziz merujuk suratkhabar "sekular" untuk menambah pengetahuan. Perkara sebegini bukannya mudah apatah lagi tanpa pengetahuan ekonomi, sosial, pentadbiran, pendidikan mahupun sejarah Malaysia seperti Nik Aziz itu. Jangan takbur. Selangkah kita merasa kita dekat dengan Allah maka selangkahlah lagi kita jauh dari Allah.

 

Sekian.