PENGENALAN

 

Sejak kebelakangan ini wujud pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepada parti pemerintah di bawah kepimpinan Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad mengenai sistem pentadbiran negara ini yang yang dikatakan tidak bercirikan sebuah negara Islam. Kritikan ini khususnya datang dari parti pembangkang PAS yang mempertikaikan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Patutkah kita harus terima kesimpulan tersebut semata-mata kerana Malaysia tidak mengamalkan hukum hudud? Adakah hukum hudud satu kriteria yang maha penting sebelum negara itu diikritaf sebagai negara Islam?

 

Hakikatnya, Malaysia memang merupakan sebuah negara Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, yang bukan sahaja mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara, tetapi juga memenuhi ciri-ciri  dan tanggungjawab sebagai sebuah negara Islam. Malaysia merupakan sebuah negara yang menjaga kepentingan agama dan mentadbir dengan berasaskan ajran-ajaran yang berlandaskan ciri-ciri keIslaman.

 

Secara amnya, boleh dikatakan keseluruhan tanggungjawab sebuah kerajaan Islam telah dan sedang dilaksanakan, ini termasuklah usaha untuk mengimbangkan pembangunan fizikal dan pembangunan rohani. Usaha kita untuk mengadaptasi dan mengIslamisasi nilai Islam dalam konteks pemerintahan masyarakat majmuk perlu dilakukan dengan bijaksana supaya rakyat Malaysia dapat hidup dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera.