MALAYSIA SEBUAH NEGARA ISLAM

 

Bagi menetukan sama ada Malaysia sebuah negara Islam atau tidak, kita perlua merujuk kepada pendapat para ulama Islam mengenai takrif negara Islam. Syeikh Muhammad Abu Zuhrah menyebut  bahawa "Negara Islam (Darul Islam) ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintah Islam, dalam mana kekuatan dan pertahannya berada di tangan umat Islam. Negara seperti ini wajib dipertahankan oleh setiap Muslim" (1964, 377). Muhammad bin Hassan As-Syaibani seorang ulama terkemuka dari mazhab Hanafi mentakrifkan negara Islam sebagai " Negara yang dikuasai oleh umat Islam, dalam mana orang-orang Islam beroleh keamanan di dalamnya." Menurut Imam Al-Fahistani yang juga seorang ulama hanafi berkata bahawa "Negara Islam ialah negara yang hukum pemerintah Islam berkuatkuasa ke atasnya."

 

Menurut Imam Syafie mana-mana negeri yang pernah menjadi negara Islam, status ini tidak akan hilang menurut fiqh Islam, sekalipun umat Islam telah dikalahkan di negara berkenaan. Ini bermakna bahawa republik-republik Islam yang berada di bawah pemerintahan komunis dan juga kuasa-kuasa lain hari ini adalah dianggap sebagai negara Islam yang dijajah dan menjadi kewajipan umat Islam membebaskannya apabila mereka mampu (Ali Ali Mansur 1965, 129).

 

Adalah nyata daripada definisi-definisi yang dibuat oleh para ulama tentang negara-negara Islam seperti yang dibentangkan di atas bahawa Malaysia adalah sebuah Islam tanpa sebarang keraguan, dan tanpa pula dipertikaikan lagi. Status Malaysia sebagai sebuah negara Islam ini tidak akan terjejas sekalipun disini  ahli-ahli perundangan moden (Barat),  Malaysia dianggap sebagai sebuah negara sekular.  Kerana penilaian ini seperti ini dbuat berasaskan kaedah undang-undang ciptaan manusia. Yang dipentingkan disini ialah penilaian berasaskan hukum fiqh Islam. Islam tidak mengenal pembahagian negara kepada negara sekular dan negara agama seperti yang difahami oleh ahli undang-undang Barat. Di dalam Islam, negara di dunia in terbahagi kepada tiga ; negara Islam (Darul Islam); negara kafir yang berperang dengan negara Islam (Darul Harb); dan negara kafir yang tidak memerangi negara Islam (Darul 'Ahd). Dari pembahagian negara mengikut hukum fiqh Islam ini jelas bahwa dua jenis negara yang terakhir adalah negara orang kafir.

 

Mempertikaikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam bermakna meletakkannya dalam salah satu dari dua jenis negara orang kafir yang dinyatakan di atas. Ini, selain dari ianya satu kesallahan daripada sudut kacamata Islam, kesannya sangat besar kepada masa depan umat, negara serta agama Islam sendiri. Kerana ia membawa erti bahawa umat Islam tidak wajib mempertahankan negara ini dari pencerobohan musuh negara. Sedangkan negara Islam itu - seperti yang disebutkan oleh Syeikh Muhammad Abu Zuhrah sebelum ini - " wajib dipertahankan oleh setiap muslim". Hukum ini dinyatakan dengan jelas dalam kitab-kitab fiqh bahawa ianya sama ada fadu kifayah atau fardu ain bergantung kepada sejauh mana ancaman yang dihadapi oelh sesebuah negara Islam. Hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam sebenarnya turut diperakui oleh sebahagian pakar perundangan moden yang membuat kajian dan penilaian secara ikhlas dan jujur. Yang Arif Datuk Hashim Yeop A. Sani dalam kajiannya mengenai Perlembagaan Persekutuan menyatakan;" Malaysia secara sah bolehlah mengisytiharkan negara ini  sebagai sebuah negara Islam walaupun pada hakikatnya ia adalah sebuah negara 'sekluar'. Dan tidak semua undang-undangnya diasaskan kepada hukum-hukum Islam (1980, 76).

 

Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam telah diperkukuhkan melalui peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara. Peruntukan ini telah diwujudkan melalui perjuangan para pemimpin UMNO ketika memperjuangkan kemerdekaan negara. Justeru itu, parti UMNO telah didokong oleh segenap lapisan masyarakat Islam, termasuk ulama-ualam, tokoh-tokoh agama dan para pejuang Islam tanahair. Mereka melibatkan dir sama ada secara langsung di dalam UMNO dan juga kerajaan dalam menuju, mengembang dan meninggikan ajaran Islam di negara ini.